SUBJEK KAJIAN & SUMBER IDEA
Tema arca yang telah diberi pada kali ini adalah "keunikan Malaysia". Dengan itu, saya membuat keputusan meletakkan subjec matter saya dalam tugasan saya adalah gasing, seruling, dan kompang .
Asal perkataan
"Gasing"
Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada
permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan
agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh
ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah tempat,
buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba).
Buah berembang ini juga dijadikan sebagai
permainan. Dalam permainan buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan
menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat
dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing berasal
daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘gah berpusing’. Gah dalam istilah
permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.
Gasing Berasal
Daripada Permainan Laga Telur
Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing
berasal daripada permainan ‘laga telur ayam’. Permainan memusing dan melagakan
telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu.
Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk
telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang
diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama.
Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan
lama.
Gasing Berasal
Daripada Peralatan Memburu Binatang
Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa
gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang
berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke
badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti
masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan
melempar gasing ke sasaran.
Cara
bermain gasing
Kaedah bermain
gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970,
permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah
dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan
sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan
gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat,
menegak dan membela uri gasing.
Melilit tali
Terdapat 2 cara untuk melilit
tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking.
Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas
dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara
yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain
dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul
hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah
terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada
dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada
pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan
tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang kedua pula
dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari
kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada
hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali
tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh
pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih
panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk
memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di
lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain
mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing
dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi
memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.
Melilit gasing
Terdapat dua cara melilit pada
gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah
dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh
pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu
supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua
gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya
dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah
dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi
menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di
bahagian bahu gasing.
Untuk melilit, gasing mestilah
dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu
jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada
gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat
dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama.
Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk
mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang
tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan
membahayakan semua orang.
Memusing gasing
Terdapat berbagai-bagai gaya
dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan
pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti
ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing
tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan
yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk
pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun
ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di
hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini.
Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing
tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan
mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak
dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan
membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.
Bagi pusingan sentap, gaya
pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang
gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan
diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan
dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan,
sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan
dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan
pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum
dilepaskan.
Memangkah gasing
Memangkah
adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan
hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri
yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan
oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak,
pangkah layang dan pangkah tebang.
Pangkah totok
Pangkahan
dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian
gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah.
Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan
ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika
menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing
yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.
Pangkah hentak
Untuk
melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula
diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing
dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi
kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing.
Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan
gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan.
Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang
dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing
lawan.
Pangkah layang
Kedudukan
tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala
dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan
kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang
ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis
ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.
Pangkah tebang
Pangkahan ini
bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan
pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah
mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak
dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini
ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya
yang berat dan pepat.
Mengangkat gasing
Setelah gasing
dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai
untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing
memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing
diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan
kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan
terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan
diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan
badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan
tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat.
Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak
kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali
yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat
patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.
SERULING
Seruling ataupun flut ialah sebuah alat muzik dari famili alat tiup kayu atau woodwind. Berlainan dengan alat rid, seruling ialah sebuah alat aerofon atau alat tiup tanpa rid yang mengeluarkan bunyi daripada aliran udara yang merentasi lubang. Ia diperbuat daripada buluh satu ketika dahulu. Namun kini seruling moden ada yang diperbuat daripada logam aluminium dan plastik. Cara memainkannya adalah dengan meniup. Akan tetapi cara meniup seruling hendaklah betul bagi mengeluarkan bunyi yang baik. Mengikut klasifikasi instrumen muzik Hornbostel-Sachs, seruling atau flut dikategorikan sebagai alat tiupan pinggir.
Akustik
Seruling mengeluarkan bunyi apabila aliran udara
merentasi sebuah lubang. Aliran udara ini menyebabkan getaran udara yang
bermula pada lubang tersebut
Seruling moden
Aliran udara yang merentasi lubang menyebabkan kesan sifon
atau kesan Bernoulli. Ini menggetarkan udara yang lazimnya
terkandung di dalam rongga resonan silinder di dalam seruling. Peniup seruling
menukar pic bunyi dengan menutup atau membuka
lubang pada badan alat, dan dengan itu menukar panjang berkesan alat penyalun dan frekuensi resonan.
Peniup juga dapat menukar pic not agar menyalun pada frekuensi harmonik dan tidak frekuensi asas, tanpa membuka atau menutup lubang
dengan mengubah tekanan aliran udara.
Bunyi seruling boleh ditingkatkan dengan penggunaan alat
resonan yang lebih besar, aliran udara besar, atau dengan meningkatkan halaju aliran
udara. Isi padu seruling
boleh ditingkatkan dengan menambah besar alat penyalun dan lubang ton. Inilah
sebabnya wisel polis, sejenis seruling, mempunyai pic yang lebar dan mengapa organ lebih
kuat bunyinya daripada flut konsert: paip organ boleh mengandungi beberapa
meter persegi udara, dan lubang tonnya mungkin beberpa sentimeter lebar,
sementara aliran udara flut konsert hanya lebar beberapa milimeter.
Aliran udara perlu diarahkan pada sudut dan halaju betul;
jika tidak udara yang terkandung di dalam alat tidak akan bergetar. Dalam flut
yang mempunyai saluran (fipple), saluran udara yang terbentuk dan berdudukan
persis memampat dan menyalur udara ke pinggir bibir tingkap terbuka alat. Di
dalam organ udara ini dibekalkan belo teratur.
Di dalam seruling yang tidak mempunyai saluran atau fipple,
aliran udara dibentuk dan diarahkan oleh bibir peniup, yang digelar
"embusur". Ini membolehkan pemain mendapatkan ekspresi luas dalam
pic, kekuatan bunyi dan timbre (warna ton) berbanding flut bersalur (contoh,
rekorder). Namun, ia menyukarkan pemain baharu membuat bunyi penuh daripada
seruling melintang berbanding alat seperti rekorder yang, seperti dikatakan,
memiliki saluran udara. Seruling melintang dan seruling yang ditiup hujung juga
memerlukan udara yang lebih dan membuat teknik circular breathing,
pernafasan berputar, lebih sukar.
Kompang
Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang
paling popular bagi masyarakat Melayu . Ia
tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang kompang biasanya
diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga
diperbuat dari kulit Lembu, kerbau malah getah sintetik .
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian
belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang ,
bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.
Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada
kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh.
Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang
diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini diletakkan bertujuan untuk
menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai
dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13
oleh pedagang Arab.
Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan
ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek
dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan
sebelah tangan yang lain.
Gambar belakang bahagian kompang. Kelihatan gelung plastik
tebal yang digunakan bagi menala bunyi kompang dengan menyelit antara bingkai
dan kulit penutup. Pada waktu dahulu, rotan digunakan.
Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang
dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya
dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.
Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara
bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan
tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah
kompang dengan jari tangan yang terbuka.
Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan
tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana
memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu
klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan
gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk
memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.