Wednesday, 8 October 2014

Subjek Kajian & Sumber Idea

SUBJEK KAJIAN & SUMBER IDEA

Tema arca yang telah diberi pada kali ini adalah "keunikan Malaysia". Dengan itu, saya membuat keputusan meletakkan subjec matter saya dalam tugasan saya adalah  gasing, seruling, dan kompang . 







Asal perkataan "Gasing"



         Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah tempat, buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba).

          Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Dalam permainan buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘gah berpusing’. Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.



Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur

Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan ‘laga telur ayam’. Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama.


Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang

Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran.


Cara bermain gasing

Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.


Melilit tali

Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

Melilit gasing

Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.

Memusing gasing

Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.
Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.

Memangkah gasing

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

Pangkah totok

Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.

Pangkah hentak

Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

Pangkah layang

Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.

Pangkah tebang

Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.

Mengangkat gasing

Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.


SERULING
        Seruling ataupun flut ialah sebuah alat muzik dari famili alat tiup kayu atau woodwind. Berlainan dengan alat rid, seruling ialah sebuah alat aerofon atau alat tiup tanpa rid yang mengeluarkan bunyi daripada aliran udara yang merentasi lubang. Ia diperbuat daripada buluh satu ketika dahulu. Namun kini seruling moden ada yang diperbuat daripada logam aluminium dan plastik. Cara memainkannya adalah dengan meniup. Akan tetapi cara meniup seruling hendaklah betul bagi mengeluarkan bunyi yang baik. Mengikut klasifikasi instrumen muzik Hornbostel-Sachs, seruling atau flut dikategorikan sebagai alat tiupan pinggir.

Akustik

Seruling mengeluarkan bunyi apabila aliran udara merentasi sebuah lubang. Aliran udara ini menyebabkan getaran udara yang bermula pada lubang tersebut



Seruling moden


Aliran udara yang merentasi lubang menyebabkan kesan sifon atau kesan Bernoulli. Ini menggetarkan udara yang lazimnya terkandung di dalam rongga resonan silinder di dalam seruling. Peniup seruling menukar pic bunyi dengan menutup atau membuka lubang pada badan alat, dan dengan itu menukar panjang berkesan alat penyalun dan frekuensi resonan. Peniup juga dapat menukar pic not agar menyalun pada frekuensi harmonik dan tidak frekuensi asas, tanpa membuka atau menutup lubang dengan mengubah tekanan aliran udara.

Bunyi seruling boleh ditingkatkan dengan penggunaan alat resonan yang lebih besar, aliran udara besar, atau dengan meningkatkan halaju aliran udara. Isi padu seruling boleh ditingkatkan dengan menambah besar alat penyalun dan lubang ton. Inilah sebabnya wisel polis, sejenis seruling, mempunyai pic yang lebar dan mengapa organ lebih kuat bunyinya daripada flut konsert: paip organ boleh mengandungi beberapa meter persegi udara, dan lubang tonnya mungkin beberpa sentimeter lebar, sementara aliran udara flut konsert hanya lebar beberapa milimeter.
Aliran udara perlu diarahkan pada sudut dan halaju betul; jika tidak udara yang terkandung di dalam alat tidak akan bergetar. Dalam flut yang mempunyai saluran (fipple), saluran udara yang terbentuk dan berdudukan persis memampat dan menyalur udara ke pinggir bibir tingkap terbuka alat. Di dalam organ udara ini dibekalkan belo teratur.

Di dalam seruling yang tidak mempunyai saluran atau fipple, aliran udara dibentuk dan diarahkan oleh bibir peniup, yang digelar "embusur". Ini membolehkan pemain mendapatkan ekspresi luas dalam pic, kekuatan bunyi dan timbre (warna ton) berbanding flut bersalur (contoh, rekorder). Namun, ia menyukarkan pemain baharu membuat bunyi penuh daripada seruling melintang berbanding alat seperti rekorder yang, seperti dikatakan, memiliki saluran udara. Seruling melintang dan seruling yang ditiup hujung juga memerlukan udara yang lebih dan membuat teknik circular breathing, pernafasan berputar, lebih sukar.






Kompang

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu . Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing  betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga diperbuat dari kulit Lembu, kerbau malah getah sintetik .

Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang , bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh. Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini diletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
Alat muzik ini berasal dari dunia Arab  dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.




Gambar belakang bahagian kompang. Kelihatan gelung plastik tebal yang digunakan bagi menala bunyi kompang dengan menyelit antara bingkai dan kulit penutup. Pada waktu dahulu, rotan digunakan.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

 

 






No comments:

Post a Comment